Sunday, April 5, 2009

Persoalan Agama: Ikat salur peranakan harus atas sebab tertentu

Soalan:
SAYA berusia 37 tahun dan mempunyai enam cahaya mata. Ketika hamil anak bongsu, doktor menasihati saya tidak mengandung lagi kerana bimbangkan kesihatan diri iaitu tahap gula dalam darah yang tinggi setiap kali hamil. Doktor mencadangkan salur peranakan saya diikat bagi mengelak hamil. Apakah kaedah ini dibolehkan Islam bagi mengelak kehamilan. 

Ina, 
Rawang, Selangor. 


Jawapan:
Persidangan Ulama ke-8 (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan), 22 November 1973 memutuskan bahawa menggalakkan amalan perancangan keluarga kepada umum adalah haram, tetapi bagi orang perseorangan atas sebab tertentu diharuskan. Pada Persidangan Ke-12 (20 Februari 1977) memutuskan perancang keluarga mengandungi tiga bahagian iaitu:

  • Memandulkan lelaki atau perempuan hukumnya haram. 

  • Mencegah beranak atau mengehadkan bilangan anak haram melainkan dengan sebab yang diharuskan syarak bagi individu. 

  • Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara selain di atas adalah harus.

    Sebaik-baiknya puan mendapatkan pandangan pakar perubatan Muslim untuk menentukan keputusan berhubung mengikat salur peranakan. 

    Perkara itu merujuk penyataan harus melakukan pencegahan dan mengehad bilangan anak atas sebab yang diharuskan oleh syarak terhadap individu.


  • Persoalan Agama: Saudara baru tidak boleh berwali

    Soalan:
    SAYA ialah saudara baru dan tinggal bersama keluarga angkat yang selama ini memberi banyak tunjuk ajar dan kasih sayang. 

    Saya bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Persoalannya bolehkah bapa angkat saya menjadi wali dan menikahkan kami kelak. 

    Gadis Musykil, 
    Kota Bharu, Kelantan.

    Jawapan:
    Al-Wilayah dari sudut bahasa bermakna kasih sayang dan pertolongan, manakala dari sudut istilah syarak bermaksud melaksanakan kata-katanya terhadap orang lain dan mengawasi urusan mereka (mempunyai kuasa). 

    Tidak sah pernikahan seseorang wanita jika dia berkahwin tanpa berwali seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

    "Tidak terjadi pernikahan kecuali dengan berwali" (Riwayat at-Tirmizi).

    Menurut Imam Nawawi, wali paling utama ialah bapa, kemudian datuk, moyang, saudara lelaki seibu sebapa dan seterusnya sekalian golongan Asobah (mereka yang berhak mewarisi pusaka). 

    Perwalian nikah berpindah kepada sultan atau wakilnya (hakim) jika seorang wanita tiada, wali, hilang wali, wali enggan menikahkan atau walinya sendiri berkahwin dengan wanita itu seperti sepupu lelaki sebelah ayah. 

    Oleh itu, jika seorang wanita memeluk Islam sedangkan tiada wali, dia perlu berwalikan sultan atau wakilnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sultan menjadi wali bagi mereka yang tidak mempunyai wali" (Riwayat at-Tirmizi) 

    Bapa atau datuk yang bukan Islam tidak berhak mewalikan pernikahan anaknya yang Islam.

    Begitu juga dengan bapa angkat, beliau tidak berhak mewalikan anak angkat walaupun mereka memelihara anak berkenaan sedari kecil dan membintikan anak kepada namanya (walaupun penamaan seperti itu adalah haram dari sudut hukum Islam). 

    Ulul Albab: Mukmin bijaksana hidup diberkati


    SIKAP hormat-menghormati serta mengamalkan ajaran Rasulullah SAW amalan umat Islam sejati. - Gambar hiasan

    Kebajikan wajar sentiasa dilaksana mengikut kesesuaian keadaan sesuatu tempat 

    PEPATAH Melayu ada mengatakan: "Di mana keluntungan berbunyi, di situ kerbau tinggal diam". Ia mempunyai pengertian jika ada pemerintah yang bijaksana, di situ rakyat tinggal tetap dan berbahagia. 

    'Bijaksana' menurut Kamus Dewan ialah: "berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati, cerdik: Bendahara Paduka Raja itulah dikatakan orang bijaksana. (Entri: 'bijaksana') 

    Seorang guru penulis di al-Ma'had al-Dini, Kuwait tiga dekad lalu pernah berang ketika seorang pelajarnya membaca sebuah hadis yang berbunyi al-mu'minu kayyisun fatinun atau seorang mukmin itu seharusnya bijaksana dan cerdik, dibaca olehnya al-mukminu kisun qutn atau seorang mukmin itu bak beg kapas kerana persamaan huruf-hurufnya.

    Allah memuliakan seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tidak ada orang yang lebih mulia di sisi Allah dari seorang mukmin". (Hadis riwayat al-Tabrani) Sedangkan umat Islam adalah umat terbaik dan mereka, seperti disabdakan Baginda maksudnya: "Umatku ibarat air hujan, tidak diketahui mana yang lebih baik awalnya atau akhirnya. (Masabih al-Sunnah) 

    Pengertian kebaikan umat Islam dapat dilihat dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik umatku adalah apabila pergi (musafir) dia berbuka puasa dan solat Qasar, dan jika berbuat kebaikan berasa gembira, tetapi apabila melakukan keburukan dia beristighfar. Dan seburuk-buruk umatku adalah yang dilahirkan dalam kenikmatan dan dibesarkan dengannya, makanannya sebaik-baik makanan, dia mengenakan pakaian mewah-mewah tapi apabila berkata dia tidak jujur. (Hadis riwayat al-Tabrani) 

    Sebaik-baik umat atau seburuk-buruk umat dalam hadis di atas menunjukkan bahawa ajaran Islam mempromosi keadilan, manakala keadilan adalah tuntutan akal dan juga syariat. Keadilan adalah tidak terlalu berlebih-lebihan terhadap sesuatu, tidak pula meremehkannya. Barang siapa menginginkan kebahagiaan, dia hendaklah mengendalikan setiap perasaan dan keinginannya agar mampu bersifat adil di dalam setiap keadaan sama ada ketika senang atau pun ketika marah dan ketika gembira mahu pun ketika sedih. Betapapun, tindakan berlebihan dan melampaui batas dalam menyingkap segala peristiwa adalah wujud kezaliman kita terhadap diri kita sendiri.

    Syariat sentiasa ditetapkan dengan prinsip keadilan. Manusia yang paling sengsara adalah mereka yang menjalani kehidupan ini dengan hanya mengikuti hawa nafsu dan menuruti setiap dorongan emosi serta keinginan hatinya. Dan akibatnya, ia membuat seseorang hidup dalam dunia khayalan dan ilusi; dia akan memandang setiap hal di dunia ini musuhnya, dia mudah curiga dan berasa setiap orang di sekelilingnya sedang berusaha menyingkirkan dirinya. 

    Dalam keadaan yang sedemikian, orang yang menjadi hamba hawa nafsu akan mudah menyebarkan desas-desus. Sedangkan menyebarkan desas desus yang menyebabkan orang lain berasa gelisah sangat dilarang oleh syariat dan termasuk tindakan murahan. Dan itu, hanya akan dilakukan oleh orang yang miskin nilai moral dan jauh dari ajaran ketuhanan. 

    Seorang mukmin bijaksana boleh mengubati penyakit yang sedemikian itu dengan cara mendudukkan hatinya pada kerusinya, nescaya kebanyakan hal yang dikhuatirinya tidak akan pernah terjadi. Dia menempatkan segala sesuatu itu sesuai dengan ukurannya. Tidak membesar-besarkan peristiwa dan masalah yang ada; bersikap secara adil, seimbang dan tidak berlebihan. Tidak larut dalam bayang-bayangan dan fatamorgana yang menipu. 

    Mukmin yang adil dalam kehidupan sehariannya akan mencari jalan bagaimana menyelesaikan masalah seperti dalam pepatah Melayu "Durian dan mentimun, menggolek kena, digolek pun kena" yang maksudnya orang bawahan atau lemah tetap akan mendapat kesusahan jika melawan orang yang lebih berkuasa. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dalam ucapan sulung pemilihannya sebagai khalifah berkata: "Orang kuat di antara kamu mungkin lemah mataku; orang lemah antara kamu, mungkin kuat di mataku sehingga aku mengembalikan hak masing-masing."

    Begitu pula, antara sifat kebijaksanaan seorang Muslim adalah dia "berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan. Sedangkan orang yang bodoh akan membuat suatu musibah menjadi bertompok dan berlipat ganda," tulis Dr al-Qarni dalam bukunya La Tahzan. 

    Ketika Rasulullah SAW diusir dari Makkah, baginda menuju Yathrib dan diperintah Allah untuk menetap di sana dengan merubah namanya menjadi Kota Madinah. Baginda kemudian berhasil membangunkannya menjadi sebuah negara yang sangat akrab di telinga dan mata sejarah. 

    Ahmad ibnu Hambal pernah dipenjara dan dihukum dera, tetapi kerana itu pula dia kemudian menjadi imam salah satu mazhab. Ibnu Taymiyyah pernah dipenjara, tetapi justeru di penjara itulah dia banyak melahirkan karya. Al-Sarakhsi, seorang ulama tersohor mazhab Hanafi, pernah dikurung di dasar perigi selama bertahun-tahun, tetapi di tempat itulah dia berhasil mengarang buku sebanyak 20 jilid yang diberi tajuk al-Mabsut. Ketika Ibnu al-Athir dipecat dari jawatannya, dia berhasil menyelesaikan karya besarnya yang berjudul Jami' al-Usul dan al-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam ilmu hadis. Demikian halnya dengan Ibn alJauzi; dia pernah diasingkan dari Baghdad, dan kerana itu dia menguasai qira'ah sab'ah, ilmu membaca al-Quran dengan tujuh cara. 

    Begitulah, ketika tertimpa suatu musibah, seorang Muslim harus melihat dari sudut yang paling terang darinya; ketika seseorang memberinya segelas air limau, dia perlu menambah sesudu gula ke dalamnya. 

    Ketika bergaul dengan saudaranya yang seiman, orang bijaksana akan mengamalkan ajaran Rasulullah SAW yang disebut dalam sebuah hadis yang maksudnya: "Allah 'Azza wajalla mewajibkan tujuh hak kepada seorang mukmin terhadap mukmin lainnya, iaitu: melihat saudara seimannya dengan rasa hormat dalam pandangan matanya; mencintainya di dalam hatinya; menolongnya dengan hartanya; tidak memfitnah atau mendengar fitnah terhadap kawannya; menjenguknya bila sakit; melawat jenazahnya; dan tidak menyebut kecuali kebaikannya sesudah dia wafat. (Hadis riwayat Ibnu Babawih) 

    Mukmin yang bijaksana akan melaksanakan kebajikan seperti dalam falsafah Melayu berteraskan Islam yang berbunyi "Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak" di mana dia akan selalu mencuba menyesuaikan diri dengan cara hidup di sesuatu tempat. Ini diperkukuh lagi dengan satu pepatah yang berbunyi "Orang berdendang di pentasnya, orang beraja di hatinya" dengan pengertian bahawa setiap orang berkuasa di tempat masing-masing. 

    Mukmin yang bijaksana adalah mukmin yang disebutkan Nabi dengan sabdanya bermaksud: "Seorang mukmin bukanlah pengumpat dan yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor. (Hadis riwayat Bukhari) 

    Agar kebijaksanaan seorang mukmin terus melekat pada dirinya maka diperlukan nasihat berterusan seperti dalam pepatah "Enak laut dikunyah-kunyah, enak kata diperkatakan" yang mempunyai erti sesuatu nasihat perlu diulang-ulang agar seseorang itu dapat mematuhinya. 

    Satu cara agar nasihat berkenaan selalu hadir dalam minda mukmin bijaksana yang akan membawa kepada keberkatan hidup, maka eloklah jika dia mengingati satu lagi pepatah Melayu yang berbunyi "Orang yang menunggu perigi itu, bilakah ia mati dahaga? Yang membawa makna orang yang mendekati golongan yang berilmu atau kaya tidak mungkin menjadi bodoh atau susah. Wallahu a'lam.

     

    blogger templates | Make Money Online